Thursday, March 18, 2010

::MENGAPA WANITA TUMBUH FIBROID? ::

Umur empat puluhan merupakan umur yang penting bagi seseorang wanita kerana dalam jangka waktu ini banyak perubahan yang berlaku sama ada perubahan jasmani, mental, emosi atau rohaniah. Kali ini, saya ingin membincangkan satu aspek perubahan jasmani yang boleh mengancam atau menjejaskan kesihatan seseorang wanita yang menjangkau umur empat puluhan. Saya percaya ramai di kalangan mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan bersetuju dengan saya bahawa dalam peringkat ini mereka mengalami berbagai-bagai perubahan. Salah satu daripada perubahan itu ialah gangguan haid.

Pelbagai Gangguan Haid

Pelbagai gangguan haid boleh berlaku sama ada haidnya berjalan secara tidak teratur atau secara teratur tetapi keluar dengan banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami masalah sakit (senggugut) ketika turun haid dan darahnya keluar berketul-ketul sehingga badannya menjadi lemah disebabkan kehilangan darah yang begitu banyak. Ada pula yang diganggu oleh perjalanan haid yang tidak betul seperti keluar tidak tentu masa dan sedikit demi sedikit serta berpanjangan pula. Ada pula yang tidak keluar haid selama beberapa bulan dan apabila keluar, wanita itu mengalami pendarahan yang begitu banyak serta berpanjangan. Ada pula yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid seperti keluar sekali dalam dua atau tiga bulan dengan sedikit sahaja. Bagi mereka yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid ini selalu berasa bimbang sama ada dia akan mengalami putus haid (menopaus) atau tidak. Ada sesetengah wanita pula mengalami masalah turun darah selepas melakukan persetubuhan dengan suami. Ini mungkin menandakan sesuatu yang berbahaya seperti ketumbuhan besar.

Gangguan Haid Boleh Menandakan Ketumbuhan Dalam Rahim

Gangguan haid yang berbagai-bagai bentuk boleh menandakan sesuatu penyakit dalam rahim. Bagi mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan, penyakit yang sering menyebabkan gangguan haid ialah ketumbuhan daging pada dinding rahim, iaitu ketumbuhan yang dinamakan fibroid. Walau bagaimanapun, ada penyakit-penyakit lain yang lebih ditakuti seperti kanser pangkal rahim, kanser rahim dan ketumbuhan lain seperti endometriosis, adenomiosis dan jangkitan kuman di dalam perkakas peranakan.

Apakah Ketumbuhan Fibroid?

Ketumbuhan fibroid ialah sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya ialah lapisan otot atau miometrium yang boleh mengembang dan membesar ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti sediakala. Walaubagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan tisu berserat atau tisu penyambung.

Lapisan paling dalam ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering berubah-ubah mengikut pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil, maka sebahagian daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan keluar bersama-sama dengan darah haid. Darah haid adalah campuran antara darah dengan tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta kuman-kuman bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan “darah kotor”. Sebenarnya, darah tidak akan menjadi “kotor” sebelum ia keluar dan bercampur dengan bahan-bahan yang dinyatakan tadi.

Mengapa Tumbuh Fibroid?

Ramai orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi fibroid pada lapisan dinding rahim. Sebenarnya, punca bagi penyakit ini tidaklah diketahui dan mengapa ia tumbuh pada sesetengah orang sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu kajian yang menunjukkan bahawa lebih kurang 25 peratus daripada wanita sebelum meninggal dunia akan menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya tetapi tidak semua mengunjungi dan mendapat rawatan daripada doktor kerana kebanyakan fibroid ini tidak menimbulkan sebarang tanda atau menggangu kesihatan.

Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku di kalangan wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan juga yang berkahwin tetapi sukar untuk mengandung dan beranak. Sering juga menjumpai fibroid di kalangan wanita yang mengalami masalah ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan fibroid, mereka juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis penyakit di mana darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan berbagai-bagai masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan persekitaran rahim.

Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian, wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung daripada penyakit fibroid. Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke umur tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak mereka besar walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima orang anak selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan beberapa tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah serta gangguan haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami ketumbuhan fibroid.

Apakah Gejala-gejala Fibroid?

Fibroid mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara senyap tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan masalah kesihatan pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh terus hidup dengan fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu tidak pernah berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana tidak semua fibroid menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak menimbulkan sebarang tanda atau gejala, kadangkala ia tidak memerlukan rawatan langsung. Perlu saya tekankan di sini, bahawa wanita yang hampir putus haid dan mempunyai ketumbuhan fibroid yang kecil saiznya dan tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak perlu dibedah kerana biasanya fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri ketika seseorang wanita itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid adalah dipengaruhi oleh estrogen. Ketika seseorang wanita itu putus haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang sangat rendah dan dengan sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan mencerut.

Fibroid Dirawat Secara Pembedahan

Rawatan yang khusus bagi fibroid, khususnya yang besar serta menimbulkan masalah seperti gangguan haid, kekurangan darah (anemia), ketidaksuburan, menimbulkan gejala seperti gangguan perkencingan ataupun menyebabkan rahim turun ke bawah (prolaps) ialah pembedahan. Beberapa perkara penting perlu diambi kira sebelum seseorang doktor memilih tentang jeni dan kaedah pembedahan. Perkara yang penting ialah sama ada wanita itu mahi melahirkan anak lagi atau tidak, dan kedua, sama ada dia juga mengalami kekenduran rahim (prolaps) atau tidak.

Bagi wanita yang masih muda dan masih mahu melahirkan anak dan mereka yang mengalami masalah kesuburan, pembedahan biasanya dilakukan melalui perut di mana ketumbuhan fibroid sahaja yang perlu dibuang. Pembedahan ini dinamakan miomektomi. Mioma ialah nama bagi ketumbuhan fibroid. Oleh itu, pembedahan tersebut dinamakan miomektomi. Kadangkala seesorang wanita itu boelh ditumbuhi beberapa fibroid. Saya pernah membuang lebih 20 ketulan mioma yang saiznya seperti guli kecil sehingga sebesar bola tennis.

Pembedahan untuk membuang ketumbuhan fibroid atau miomektomi, kadangkala menimbulkan masalah jangka panjang di mana fibroid mungkin tumbuh semula dan menimbulkan gejala kesihatan yang akhirnya mungkin memerlukan satu lagi pembedahan di mana rahim dan ketumbuhan tersebut perlu dibuang sekaligus.

Pembedahan Untuk Membuang Rahim (Histerektomi)

Pembedahan yang mutlak bagi wanita yang menghidap tumbuhan fibroid, khususnya mereka yang tidak bercadang untuk melahirkan anak lagi kerana mungkin mereka telah mempunyai bilingan anak yang cukup ataupun telah menjangkau umur lebih daripada 40 tahun dan ketumbuhan ini menimbulkan berbagai-bagai masalah kesihatan, ialah pembedahan histerektomi. Pembedahan ini dianggap sebagai satu pembedahan besar dan biasanya seseorang itu perlu tinggal di hospital selama seminggu. Pembedahan ini memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk pulih kepada keadaan sediakala.

Ramai juga wanita yang tidak begitu gemar menjalani pembedahan histerektomi kerana ini akan menyebabkan dia kehilangan rahim, iaitu lambang kewanitaan mereka. Tanpa rahim, haid tidak lagi keluar. Sebenarnya, seseorang wanita yang menghidap penyakit dalam rahim dan tidak mahu melahirkan anak, dia tidak lagi perlu memikirkan, bahawa rahim tersebut sebagai lambang kewanitaannya dan untuk mengekalkan kejelitaannya. Rahim hanyalah berfungsi untuk menaungi dan melindungi janin dalam kandungan. Rahim bukan satu organ yang melambangkan kejelitaan wanita dan ia juga tidak penting bagi menentukan hubunga seksual yang memuaskan. Sebenarnya haid bukan satu lambang kewanitaan, tetapi haid itu sebenarnya merupakan tanda bahawa seseorang itu tidak mengandung. Jika seseorang wanita itu mengandung maka haidnya akan berhenti.

SUMBER: Dari Ruangan Dr. Hamid Arshat, Pakar Perbidanan Dan Sakit Puan

::artikel sumbangan en syamsul::

0 comments:

Post a Comment